Sunday, 16 December 2012

Pengunjung Pasar Kisah AIR.


aku nak kongsikan je cerita yang aku buat sebagai usaha penambahbaikan markah test yang aku pernah cakap dulu. ni non-edited, typed sebelum aku salin semula kat kertas. jangan pertikaikan tatabahasa, kosakata or whatsoever sebab aku bukan anak saudara A. Samad Said. well, esei ni antara esei yang mendapat markah penuh. Alhamdulillah. :) Air Kepada Yang Memerlukan.

**********

Aku seorang pengembara. Atau mungkin sebuah? Sebiji, sebatang, sebidang juga? Pengembara yang entah muncul dari mana tapi apa yang pasti aku telah banyak menjelajah dari jasad ke jasad. Jasad? Ya, jasad. Aku sebenarnya satu roh yang nomad, sering berpindah randah dari masa ke masa. Aku sendiri tidak mengerti mengapa aku diciptakan dan aku masih tertanya-tanya, dari mana aku memulakan perjalanan aku? Sehingga mana aku akan berakhir? Bila? Bagaimana? Dengan apa? Atau siapa? Segalanya berputar ligat dalam kotak fikiranku bagai dunia ini yang juga entah bila kiamatnya. Namun, aku percaya bahawa perjalanan aku ini pasti membawa sebuah makna yang tersirat. Untuk pengajaran mungkin? Kerana satu pemalar bagi setiap jasad yang aku singgah, aku pasti akan mengunjungi pasar kisah ‘AIR’.

Aku masih ingat waktu pertama kali aku celikkan mata, aku terdampar kering kontang. Merekah, pucat, dan panas. Mataku melilau sekeliling tetapi aku hanya Nampak akan diriku. Tiba-tiba, aku rasakan kakiku lembap dan mulai basah lalu terpancur lah keluar air dari celah diriku yang merekah itu. Seiringan dengan itu, aku mula lihat lembaga hitam berbondong-bondong berlari ke arah kami. Makin lama makin banyak, bagai semut hitam yang mengganas bila sarangnya diganggu. Setelah diamati, aku sedar bahawa aku berada di Kenya. Titisan air sedikit sebanyak jatuh semula seolah-olah menangis.

“Kenapa dengan kau ni, Air? Sedih semacam je.”

“Aku sedih lah Tanah. Kau tengok warnaku ni. Sepatutnya jernih, bersih. Tapi, apa yang dapat aku berikan pada mereka yang bertahun-tahun lamanya mendambakan kehadiran aku di bumi mereka? Hanya sekadar keruh, busuk, kotor pula.”

“Apa mereka di sini benar-benar perlukan kau?”

“Iya lah Tanah. Kau lihat hujung sana tu. Bergelimpangan mayat budak yang tak cukup aku dalam badan mereka. Yang masih hidup pula, bagai tulang berjalan. Hari ini, aku terpancur, umpama satu anugerah terhebat buat mereka. Di sini, aku hanya diperlukan buat mereka teruskan hidup yang entah esok lusa, tiada. Kesian, Tanah. Disebabkan aku juga, mereka terkena pelbagai penyakit. Mandi pun, serupa macam tak mandi. Apa sahaja yang aku sumbangkan pada mereka?”

Sambil menghabiskan ayat terakhir, Air pergi meninggalkan aku jauh ke dasar sana. tiba-tiba, pandanganku gelap gelita bagai seorang buta. Adakah pengembaraan aku sudah terhenti? Tidak berapa lama kemudian, aku celik dan aku kini merupakan salah satu paip air di sinki tandas sebuah asrama.

“Ah, bocor.” Monologku melihatkan air yang laju tertitis dariku.

“Hei Paip!” Rupa-rupanya Air yang menegurku. Jelas terpancar keriangan di wajahnya tatkala dia menitis keluar dan berlegar-legar dalam ruang sinki itu.

“Amboi, Air! Senang benar hati kau mengalir begini tanpa tujuan.  Apa mereka di sini tidak perlukan kau?”

“Haruslah perlu, Paip! Mereka semua perlukan aku untuk cuci tangan lepas makan dan keluar tandas. Kadang-kadang mereka ambil wuduk di sini. Tak kurang juga yang mencuci bekas makanan dan minuman, menadah  untuk simpanan, dan mencuci pakaian.”

“Oh! Tapi kau tak rasa yang ramai di luar sana perlukan kau dalam keadaan yang bersih sebegini?”

“Alaa Paip. Kehidupan aku di sini memang diperlukan untuk pembaziran. Kalau kau nak tahu, aku dah biasa terbuang-buang bila mereka tak tutup kau semasa berus gigi dan mencuci pakaian. Kadang-kadang, mereka bermain-main denganku ketika mandi bersama rakan-rakan yang lain. Perkara yang paling kelakar, mereka selalu terlupa untuk pusingkan semula kepala kau Paip. Hahaha. Sebab tu, sampai sekarang mereka tak pedulikan pun tentang aku menitis yang entah esok lusa, mencurah pula.”

Serentak dengan itu, Air menghilangkan diri ke dalam lubang. Aku buta sekali lagi. Sesedarnya aku, fizikalku kini berubah kepada gumpalan putih selembut kapas. Berseri dan suci. Namun tidak lama, aku mula berubah kelam. Gelap semakin pekat. Badanku terasa berat sekali. Rupa-rupanya aku mengandung! Mengandungkan air yang banyak.

“Hai, Air! Perlukah kau turun ke bawah sana?”

“Awan, Awan. Perlulah. Aku sangat diperlukan di bawah sana oleh petani-petani dan peladang-peladang supaya tanaman mereka semua mempunyai tumbesaran yang sangat baik. Tasik, kolam, tanah semua perlukan aku. Kalau tidak, mereka semua akan kering kontang! Laut untuk melengkapkan kitaran kaumku dan bumi ini juga perlukan aku bagi menstabilkan suhu. Kau bayangkan jika kemarau melanda. Semua tanaman musnah. Haiwan dan manusia akan haus dan dehidrasi lalu mati seminggu kemudian. Itu pun sudah paling lama mereka tanpa aku, Awan.”

“Benarkah begitu? Tapi mengapa aku lihat engkau macam tak sihat saja?”

“Itu lah kehidupan. Sedang aku ini nikmat paling besar yang diberikan, mereka sewenang-wenangnya menyakiti aku. Dulu, memang ya aku berkhidmat untuk semua itu. Tapi sekarang, sejatan aku mengandungi gas-gas beracun. Aku dipaksa menyedut asap-asap hitam yang berkarbon dan bernitrus tinggi. Badanku mula lemah dan kini berasid. Aku minta maaf pada kau kerana mengandungkan aku yang berpenyakit ini. Tapi, selepas aku turun, aku akan pastikan mereka semua merasakan kesan daripada perbuatan mereka terhadap aku!”

“Apa yang ingin kau lakukan, Air?”

“Aku akan balas dendam. Selepas mereka sesakkan nafas aku dengan sampah, minyak, toksik, dan segalanya, selepas mereka musnahkan keseimbangan alam ini dengan membunuh hidupan dalam aku, tanaman mereka akan aku rosakkan. Air tadahan mereka akan aku cemarkan. Kesihatan mereka akan aku musnahkan. Haiwan peliharaan mereka semua aku akan bunuh. Aku sudah cukup bersabar melihat kami ini dibazir, dicemar, dihina, dan didera. Alang-alang di Kenya sana tidak dapat menikmati aku, biar mereka yang lain turut merasakannya! Dasar manusia tidak tahu bersyukur.”

Sepantas kilat, Air keluar dari kandunganku sebagai hujan. Aku tergamam dengan kata-kata Air sebentar tadi. Sungguh, tidak aku sangka bahawa keadaan Air sekarang sangat kritikal bagai telur di hujung tanduk, bagai embun di hujung rumput, hanya tinggal nyawa-nyawa ikan. Kotak fikiran aku berputar lagi. Entah bagaimana 50 tahun akan datang. Adakah Kenya akan terus tandus dan gersang atau mereka akan dapat menikmati air yang suci bersih? Adakah sinki di asrama itu telah dibaiki atau Air akan terus tersenyum girang sambil mencurah-curah tanpa guna? Adakah aku akan terus mengandungkan air yang sakit dan berasid atau dendam di hatinya akan hilang dan akan terus mencurahkan bakti dan berjasa besar?

Kini, aku merupakan bumi yang haus, dahaga, tidak lama lagi dehidrasi lalu takkan ada kehidupan lagi yang akan berlegar bebas. Aku hanya menanti saat sangkakala ditiup agar aku tak perlu menanggung derita ini lagi tanpa air. Semoga sekalian alam dirahmati dan berbahagia hingga ke akhir hayat mereka. Begitulah perjalananku, pengunjung pasar kisah AIR.

p/s :: it's been three.

No comments:

Post a Comment