Saturday, 6 October 2012

Diari Suatu Jumaat

walaupun malam tadi aku tidur pukul 3 pagi sematamata nak siapkan Air Pollution Control Orientation Course yang mengandungi beratus soalan, tapi aku berasa segar apabila bangun pagi untuk Subuh. ya, aku dalam keadaan suci. namun Tuhan saja yang tahu mengantuk aku tu bagaimana setelah aku menghadapNya lalu aku sambung tabiat buruk untuk tidur semula kerana kelas bermula pada pukul 10 pagi. sempat juga aku bermimpi dan terjaga pada pukul 9.10 pagi. semester ini aku tidak perlu risau untuk keluar awal dan merebut bas kerana rakanku telah berbesar hati untuk menumpangkan aku dan beberapa rakanku yang lain dengan kereta kecilnya yang bernama kancil. ah! malas betul nak ke kelas; hasil daripada setahun yang mengosongkan jadual hari Jumaat. bingkas aku bangun dan mandi harus. harus kerana aku tidak mengalami mimpi basah.

buat cenggini merupakan tabiat dari kecil

memandangkan kemalasan aku itu tahap maksima, aku hanya menyarungkan sehelai t-shirt hitam yang ku beli sewaktu di matrikulasi dahulu dan aku padankan dengan jeans biru berjenama Diesel Exchange yang telah bertahuntahun berkhidmat denganku. lalu aku hanya menutup kepala dengan tudung yang pernah menjadi trend iaitu tudung Syria dengan inner berwarna kelabu, sepadan dengan warna tshirt hitamku yang bercampur dengan kelabu. kemudian aku menyapu sedikit jeli petroleum berjenama Vaselin ke bibir serta losen berjenama sama ke keduadua tanganku. sebagai benteng keyakinan harian, aku semburkan sedikit wangian Japanese Cherry Blossom dari The Body Shop pemberian dongsaengku pada hari lahirku yang lepas. bersyukurnya aku kerana andai aku beli sendiri, sudah pasti aku tidak dapat membeli komik Lawak kampus sebanyak 10 jilid.

the most favourable character in the comic

setelah memastikan katil dalam keadaan kemas dan beg mengandungi keperluan, jam menunjukkan 9.35 pagi. kebiasaannya kami akan mula bergerak ke kelas 15 minit sebelum waktunya. dengan ketagihanku terhadap jaringan atas talian, aku menghidupkan komputer ribaku berjenama Dell berwarna maroon dan terus ke laman sesawang Twitter. dandan beberapa tweets aku post, kami mula menuju ke kereta seterusnya ke kelas. kelas pertama pagi ini ialah Teknologi Pengawalan Pencemaran Udara, satu subjek elektif yang aku pilih daripada pilihan subjek yang lain iaitu Rawatan Air Minum dan Sistem Tenaga dan Alam Sekitar yang disyarahkan oleh Timbalan Dekan Fakulti sendiri yang aku gelar Dr. Makmom. sekiranya beliau makmum, adakah kami imamnya? ah! mengarut sudah mula menerjah kotak fikiranku.

Prof. Madya Dr. Ahmad Makmom bin Abdullah. kacak bukan?

namun sebelum aku masuk ke kelas, aku terlebih dahulu ke kedai untuk mencetak keluar sijil kuiz yang aku usahakan sepanjang malam tadi. hasil kegigihan mata dan pertolongan wifi kolej, aku memperoleh markah penuh. nasib menyebelahi aku dan rakanku yang menemaniku kerana Dr. Makmom turut lewat ke kelas. pelajaran masih berkisar benda yang sama sejak beberapa minggu yang lepas, seawal permulaan semester. pembentangan dan soal jawab, aku melibatkan diri. kesan daripada itu, Dr. Makmom mengenaliku dengan nama Ca'a. wah sudah banyak nama timanganku sejak dulu. namaku Nursyafiqa. dan sehingga 20 tahun lebih aku hidup ini aku turut dikenali dengan Iqa, Syafiqa, Pika, Sya, Sya'a, Ca'a, Chacha dan err Kulat. Kulat? tak perlu aku jelaskan buat masa ini. kalau mahu tahu, hadap muka aku.

siapa sangka budak kecik ni membesar seperti sekarang ;)

kelas tamat 12 tengahari tetapi kami dilepaskan awal kerana sesi perbincangan telah tamat dengan jayanya. aku mengikut rakanku pulang ke kolej dan menyiapkan laporan amali kelas petang ini yang aku tangguh seminggu yang lalu di bilik sahaja. hasil kepakaran aku dalam menyalin kerja kawan ku gunakan sepenuhnya dalam kerja laporan amali, tak kira subjek apa. dan siap. terus aku menyambung aktivitiku atas talian sambil menunggu 2.45 petang untuk bergerak ke kelas amali Pengenalan Sains Atmosfera. kantuk aku masih belum hilang lalu selepas menunaikan fardu Zohor, aku berniat untuk berehat sebentar lebih kurang setengah jam. ternyata aku gagal apabila batuk kencang sekali lagi menyerang tidak mengizinkan aku tidur. lantas aku bangun dan terus bersiap.

menarik bukan?

uniknya mentalku, tidak mengandungiku hormon kantuk lalu aku fokus menyiapkan kerja yang diberi untuk dihantar pada masa itu. tapi sebelum aku fokus, aku telah keluar dari kelas sebentar bersama seorang rakan ke kedai Twister untuk membeli sosej buat mengisi perut yang hanya aku isi dengan bubur segera. entah mengapa perutku seakan mempunyai kapasiti yang besar pada hari ini. pulang sahaja, Dr.Wan telah pun memulakan syarahannya. sebagai pengganti serba salahku itulah aku fokus dalam kelas beliau. namun aku kesal dengan kefokusan aku kerana aku pasti tidak melayan dengan sebaiknya sekiranya ada rakanku yang bertanya. sungguh aku kesal dengan sifat aku yang satu ini. aku minta maaf. aku rasa bahawa minatku terarah ke bidang kaji cuaca. akhirnya, kami berjaya menyelesaikan soalan demi soalan dan pasti lega kerana minggu depan tidak perlu bersusah hati memikir kerja siapa yang mahu di copypaste.

mana tahu nanti aku masuk tv membaca berita cuaca.

petang Jumaat aku teruskan dengan melepak di laman sosial atas talian di hadapan komputer ribaku yang ku letakkan di atas meja. tapi tidak lama, aku pergi mandi harus sekali lagi. sempat aku berfikir tentang perasaan yang aku alami terhadap beberapa perkara sejak kebelakangan ini dalam bilik mandi tersebut. dengan bertuala biru yang aku dapatkan secara percuma sewaktu aku dimasukkan ke wad Hospital Putra Melaka tahun 2008, aku kembali ke bilik. aku sarungkan t-shirt coklat yang bekas teman lelakiku hadiahkan dari Indonesia sewaktu Mama nya melancong ke sana beserta seluar pendek lambang Malaysia. usai sujud Asar, aku menghabiskan bacaan Cerpen oleh Nadia Khan, buku kompilasi cerpen yang aku pinjam dari teman bilik. eh sudah pukul 7 dan aku malas untuk turun ke kafe lalu aku hanya menyumbat perutku dengan megi berjenama Ruski perisa Tom Yam. Maghrib sudah menjelma dan aku membasuh bekasku selesai makan dan terus solat. kemudian aku melipat pakaian kering yang sudah ku bajak, luar dan dalam.

front cover

terus aku menyalin pakaian untuk ke kelas latihan silat cekak yang aku baru sertai. dengan seluar balapan Forest berwarna hitam dan t-shirt lengan panjang biru gelap yang aku peroleh sewaktu menyertai kem Anak-Anak Petronas 2008, aku menunggu rakanku untuk pergi denganya menaiki bas. biarlah apa yang terjadi sewaktu kelas itu menjadi rahsia bagiku. selepas tamat latihan, kami menunggu bas di Fakulti Sains untuk pulang ke kolej. aku merancang untuk meminjam motor sesiapa rakanku setiap selasa dan jumaat malam hanya untuk pergi ke dan pulang dari kelas latihan ini. kalau staff fakulti aku beri pinjam motor Kawasaki Ninja hitam beliau tu pun aku dah cukup bersyukur.

ce bayangkan aku yg tunggang. pehh.


sebelum aku solat Isyak, aku menghidupkan komputer riba yang aku hibernate sebelum pergi tadi sambil mengeringkan peluh dara (bukan peluh jantan). tapi tidak lama, aku menyalin semula ke pakaian petang tadi dan terus ke bilik air untuk melakukan rutinku iaitu gosok gigi dan hadas kecil. tidak lupa wuduk dan sekembalinya aku ke bilik, waktu Isyak aku lengkapkan. niat hati mahu meneruskan aktiviti atas talian tapi dek kerana wifi yang mula seperti siput, aku batalkan niat dan terus berbaring di katil yang bertilamkan spring keras, aku alaskan dengan toto buat penyelesa tulang belakang bengkokku. mahu lelapkan mata, kantukku belum tiba lalu aku meminjam pula kompilasi cerita seram berjudul Ketakutan dari teman bilikku yang baru dibeli sewaktu karnival buku Isnin yang lalu. Lejen Press. bingkas aku berselimut.

front cover.


tak lama juga, teman bilikku yang lain pulang dan terus memadamkan lampu untuk tidur. ku tutup buku dan terus melayan khayal buat tidur lena. mesej dari rakan juga tidak aku balas. selamat malam. semoga Sabtu ada untukku. :) ini Jumaat aku, Jumaat anda bagaimana?

:)

penggunaan bahasa yang tidak menarik dan bosan bukan buat kau memandang rendah padaku. aku hanya terpengaruh daripada novelis, mood yang tidak akan dapat aku elakkan. any typo, abaikan.

p/s :: stamina 2 rounds bukit ekspo musnah akibat milo ais di pasar tani.

No comments:

Post a Comment